Monday, 25 November 2013

PERMATA DALAM HIDUPKU (Part 1)

Wanita, merupakan insan yang paling mulia di dalam dunia, terutama kepada mereka yang bergelar IBU, MAK, MAMA ataupun MOMMY. Saya merupakan seorang wanita, dimana nasib saya tidaklah sebaik macam pasangan suami isteri yang lain. Saya masih bujang tetapi pada tahun 2009, saya telah bergelar ibu tunggal. Memang menyedihkan apabila saya telah ditinggalkan oleh seorang lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab, tetapi mungkin itu adalah takdir. Oleh itu, saya telah berusaha menabahkan diri ini untuk bangun semula demi memperjuangkan masa depan anak kecil ini.

Kehadiran anak ini adalah pada tahun 2008, masa saya beumur 18 tahun. Pada masa itu, saya dalam cuti Semester 2 sementara menunggu untuk masuk semula ke kolej pada pertengahan tahun 2008 untuk memasuki Semester 3. Saya langsung tidak menyedari kehadiran kandungan tersebut di dalam diri saya, maklumlah tiada pengalaman dan masih muda lagi. Yang saya rasa hanyalah alahan, setiap kali lepas saya makan. Walaupun berasa kurang selesa, tetapi saya masih menganggap perkara itu sebagai perkara biasa. Kemungkinan saya ada tersalah makan kot.

Orang pertama yang perasan perubahan pada diri saya adalah arwah mak saya. Beliau perasan bahawa alahan saya yang makin teruk dan pad yang saya beli untuk dipakai masih dalam keadaan sempurna tanpa dibuka pakai. Oleh itu, dia telah menemani saya ke klinik untuk body checking. Setelah menjalankan ultrasound, doktor telah mengesahkan saya telah mengandung selama 5 bulan. Disebabkan tempoh kandungan telah melepasi trimester pertama, doktor tidak menggalakkan saya untuk mengambil risiko gugurkan kandungan. Saya sangat panik, tidak dapat terima mengapa perkara seperti ini berlaku ke atas diri saya.

Dalam keadaan saya yang tidak tentu arah, saya telah memaklumkan perkara ini kepada orang yang sepatutnya bertanggungjawab tersebut. Namun, tiada sebarang balasan daripadanya. Keadaan saya menjadi semakin teruk apabila memikirkan masa hadapan saya. Arwah mak saya yang sepatutnya marah atas perbuatan terkutuk saya, bukan saja tidak memarahi saya, tetapi dialah banyak memberi kata-kata semangat kepada saya. Begitu juga dengan adik lelaki saya dan kawan-kawan saya yang mengetahui perkara ini. Mereka banyak membantu saya, dan membawa saya keluar daripada kalangan putus asa.

Sejak daripada itu, arwah mak saya akan menemani saya ke klinik untuk menjalankan checkup. Dahlah masa itu, kesihatan arwah mak saya tidak stabil (beliau mengalami penyakit darah tinggi pada masa itu, sebelum disahkan mengalami masalah buah pinggang), tetapi dia masih bertekad menemani saya selagi dia mampu.

Adik lelaki saya pula menjadi mangsa semasa saya mengidamkan sesuatu makanan. Makanan yang saya selalu idamkan seperti kacang pea hijau goreng, jagung rebus, milo ais, ayam panggang, maggi, bakso, kerepek ikan cap Bayi, Pan Mee sup dan lain-lain. Walaupun dah tengah malam, tapi dia masih menemani saya keluar semata-mata untuk menunaikan apa yang saya idamkan. Kadang-kadang dia akan membawa balik makanan yang saya sebutkan sebelum dia pergi kerja ataupun dia akan mmberikan wang kepada arwah mak supaya belikan apa saja yang saya teringin nak makan.

Nasib baik pada masa itu, saya ada saving sedikit (duit sara PTPTN dan duit belanja yang arwah mak berikan daripada wang tanggungan SOCSO arwah ayah). Oleh itu, arwah mak suruh buat persiapan awal supaya tidak kelam kabut semasa bersalin nanti. Entah mengapa atau mungkin sebab deria ke-6 telah memberitahu bayi dalam kandungan adalah seorang perempuan. Tak kisah daripada nama, pakaian, botol susu, puting, beg untuk simpan barang bayi, tuala, stocking kaki dan tangan, topi…semuanya berkaitan dengan perempuan, barangan yang dipilih semuanya bertemakan warna merah jambu (pink).

Semakin meningkat umur kandungan, semakin saya berasa saya tidak dapat berpisah dengannya. Setiap hari dia akan menemani saya pergi kelas, menari-nari semasa mendengar lagu, menendang saya seperti sedang bermain bola dan sebagainya. Hubungan saya dengan dia semakin erat, jikalau pihak hospital mengambilnya daripada saya, saya akan membuat apa saja demi melindungi dia.

Pada masa kandungan mencecah 9 bulan (masa itu saya dah habiskan semester 3 dan dalam cuti semester, sesi pembelajaran semester 4 adalah pada awal tahun 2009), doktor memberitahu saya bahawa saya kena menjalani checkup setiap minggu. Oleh kerana kesian kat arwah mak saya, saya telah menyatakan hasrat untuk pergi klinik sendiri. Semasa checkup, doktor telah membuat scanning ke atas kandungan saya. Hal ini telah membolehkan saya melihat sendiri anak kecil yang telah menduduki rahim saya selama 9 bulan itu.

Sehari sebelum pergi klinik, saya pernah menyatakan saya teringin nak makan asam pedas style Cina (Asam Choy). Arwah mak berjanji malam saya pergi checkup, dia akan hidangkan hidangan tersebut buat makan malam.  Sungguh tidak sangka hidangan itu merupakan hidangan terakhir yang saya mengidamkan.

Keesokan harinya semasa membersihkan diri, saya mendapati ada tompokan berwarna coklat pada panties saya. Dengan itu, saya telah menukarkan panties tersebut. Namun selepas daripada itu masih ada cecair berwarna coklat yang seolah-olah macam darah melekat pada panties yang baru saya tukar. Arwah mak syorkan supaya saya berjumpa dengan doktor sekali lagi, doktor berkata itu adalah perkara biasa sahaja, masih ada 2 minggu daripada tarikh bersalin. Setelah pulang ke rumah, saya telah makan tengahari dengan lauk hidangan semalam. Sungguh tidak saya sangka, petang itu perut saya sakit sangat…saat untuk saya bersalin sudah tiba.

Perasaan seperti ingin membuang air besar telah mengaburi saya. Setelah beberapa kali keluar masuk daripada bilik air, tanpa sebarang bahan buangan, perut saya menjadi semakin tegang dan sakit. Saya hanya mampu baring di atas lantai dan bergolek-golek untuk menghilangkan kesakitan tersebut. Arwah mak menjadi kelam kabut, disebabkan tidak ingin melihat saya menahan kesakitan, beliau yang selama ini tidak bercakap dengan akak saya telah meminta tolongnya supaya menjadi bidan sementara.

Akak saya yang selama ini tidak tahu mengenai hal ini menjadi panik, terus meminta tolong anaknya ang berumur 8 tahun ke tempat kerja abang ipar yang tak jauh daripada rumah untuk meminta dia pulang tolong hantarkan saya ke Hospital Ampang. Adik saya pun bergegas pulang daripada tempat kerja (adik dan abang ipar bekerja di bengkel yang sama, iaitu bengkel abang kepada abang ipar), dia pun menjadi blur sekejap kerana dia sendiri pun tak tahu nak buat macam mana. Hanya mencapai beg yang dah siap packing dengan buku merah, kami bertolak ke hospital.

Setelah tiba di hospital, kakitangan hospital segera datang menolong arwah mak saya memimpin saya ke tempat kerusi roda. Mereka segera menghantar saya ke wad bersalin, sambil-sambil saya meraung kesakitan yang teramat. Arwah mak saya ditahan di pintu wad bersalin kerana hanya suami sahaja dibenarkan masuk ke dalam. Lelaki tak akan tahu perasaan seseorang wanita, betapa susah dan sakitnya untuk melahirkan seorang bayi. Sebaringnya saya di katil bersalin, doktor yang bertugas telah membuat pemeriksaan dan mendapati telah nampak rambut bayi. Tanpa lenggangkan masa, doktor telah mengarahkan nurse yang bertugas menyediakan perkakasan yang perlu dipakai dan segera mengarahkan saya meneran sekuat yang mampu. Saya yang pertama kali bersalin dan tidak tahan kesakitan telah meraung kesakitan, tetapi nurse-nurse yang bertugas telah menyuruh saya jangan keluarkan suara.


Air mata saya mengalir tanpa henti disebabkan kesakitan yang teramat. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya masa itu. Setelah puas saya meneran, saya merasakan ada sesuatu yang keluar daripada faraj. Tangisan si kecil telah menerangi wad bersalin tersebut. Tengok pada jam di dinding, tepat menunjuk ke 5.45pm. Lega rasanya, anak kecil dalam keadaan sihat. Saat kesakitan tidak berhenti kat situ sahaja, kerana masih ada proses menjahit yang belum selesai. Disebabkan doktor menggunakan bius dalam kuantiti yang sikit, perasaan sakit masih dapat boleh dirasa apabila jarum dicucuk dan benang ditarik. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana telah melahirkan seorang anak perempuan yang sihat.


To be continue...

Wednesday, 20 November 2013

Hargailah Wanita Yang Bergelar Isteri / Mak


ADAKAH INI DIKIRA TAK BEKERJA

Pada suatu hari seorang lelaki yang agak berumur bernama Pak Halim bertemu dengan seorang kaunselor. Tujuan utama pertemuan tersebut adalah untuk menceritakan masalah yang dihadapinya. Menurut Pak Halim sejak kebelakangan ini, isterinya Mak Zainab kurang melayaninya. Mak Zainab seperti sudah tawar hati dengannya. Menurut Pak Halim selama ini isterinya tidak bekerja. Hanya dirinya sahaja yang berkerja. Mari kita ikuti dialog diantara Pak Halim dan kaunselor.

Kaunselor: “Apa kerja Pak Halim?”
Pak Halim: “Kerja saya hanya bersawah padi encik”
Kaunselor: “Mak Zainab pula?”
Pak Halim: “Mak Zainab tak kerja”.
Kaunselor: “Tiap-tiap pagi siapa yang sediakan sarapan pagi?”.
Pak Halim: “Mak Zainab yang sediakan sebab dia tak kerja”.
Kaunselor: “Pak Halim pula bila pergi bendang?”.
Pak Halim: “Lepas sarapan pagi saya pergi bendang sampai tengah hari”.
Kaunselor: “Anak-anak siapa yang hantar ke sekolah?”.
Pak Halim: “Anak-anak Mak Zainab yang hantar ke sekolah sebab dia tak kerja”.
Kaunselor: “Mak Zainab buat apa selepas hantar anak-anak ke sekolah?”.
Pak Halim: “Sebab dia tak kerja, dia kemaskan rumah dan masak untuk kami sekeluarga”.
Kaunselor: “Sebelah petang selepas balik bendang apa yang Pak Halim buat?”.
Pak Halim: “Selalunya Pak Halim tidur selepas makan tengah hari”.
Kaunselor: “Mak Zainab pula buat apa selepas makan tengah hari?”
Pak Halim: “Sebab dia tak kerja, sebelah petang Mak Zainab menjahit kain. Kemudian selepas asar kadang-kadang dia sapu sampah. Selepas itu dia sediakan makan malam untuk keluarga”.
Kaunselor: “Sebelah malam apa yang Pak Halim buat?”, tanya kaunselor itu lagi.
Pak Halim: “Sebelah malam Pak Halim berehat sebab siangnya dah letih bekerja. Kadang-kadang Pak Halim pergi ke surau”
Kaunselor: “Apa yang Mak Zainab lakukan di malam hari?”.
Pak Halim: “Mak Zainab malam-malam dia rajin mengayam tikar sehingga lewat malam. Sebab dia tak kerja itu yang dia buat”

Kaunselor kemudiannya menggarukan kepalanya. Dia memikirkan diantara Pak Halim dan isterinya yang tidak berkerja, siapakah yang lebih banyak bekerja. Sedangkan kerja Mak Zainab bermula seawal waktu Subuh sehinggalah lewat malam, tetapi dikatakan tidak berkerja oleh suaminya.


 DILEMA ISTERI TAK BEKERJA

Kisah ini sengaja saya bawakan untuk menggambarkan situasi yang berlaku kepada segelintir masyarakat kita. Apabila ditanya tentang isteri, hanya dijawab isterinya tidak berkerja. Sehingga tanpa disedarinya, isteri yang tidak berkerja dibebankan dengan kerja yang melebihi suami yang berkerja.

Bermula daripada memasak diawal pagi, menghantar anak ke sekolah, membasuh, mengemas rumah, memasak makanan tengah hari, menjahit kain, menyapu sampah, mengayam tikar dan sebagainya. Tidak terhitung sekiranya dikira satu persatu. Seorang isteri tidak akan duduk diam melainkan melakukan kerja-kerja menguruskan rumah tangga.

Inilah berbeza diantara lelaki dan wanita. Cuba kita bayangkan sekiranya Pak Halim berada ditempat Mak Zainab, sudah tentu dialog ini yang kita dengar sekiranya Mak Zainab mengatakan Pak Halim tidak berkerja.
“Takkan buta kot mata sampai kata aku tak ada kerja. Dari pagi sampai malam, takkan ni bukan kerja”.
Tetapi Mak Zainab sekali-kali tidak pernah merungut walaupun dirinya yang dianggap tidak berkerja  walaupun bebanan kerjanya menguruskan rumah tangga lebih berat daripada kerja suaminya. Bagi Mak Zainab selama ini dia bahagia membuat kerja untuk keluarga kerana dia cintakan keluarganya. Mahu memberi sebanyak mungkin.


 SURI RUMAH SEBAGAI PROFESION

Walaupun tugas suri rumah sering dipandang sinis oleh sesetengah golongan tetapi ianya merupakan suatu profesion. Cuba kita kenang kembali sejak kecil sehingga dewasa, sudah banyak borang yang diisi oleh kita. Bermula daripada sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah entah berapa banyak borang yang perlu diisi dan mengandui ruangan perkerjaan ibu. Selalunya bagi anak yang mempunyai ibu yang tidak berkerja, mereka akan mengisi perkerjaan ibu mereka sebagai suri rumah. Jarang sekali kita melihat ruangan perkerjaan ibu sebagai tidak berkerja.

Pernah saya bertemu dengan seorang teman daripada Yaman yang ingin menyambung pelajaran di peringkat Ph.D ditempat saya berkerja. Secara kebetulan dia tersilap mencari pejabat pendaftaran sehingga sampai ke pejabat saya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Moosa, guru Bahasa Inggeris di Yaman. Apabila ditanya apakah perkerjaan isterinya, dia menjawab isterinya berkerja sebagai suri rumah. Saya berkata kepadanya yang isterinya tidak berkerja. Dengan pantas dia menjelas tugas seorang isteri bukan berkerja mencari nafkah, tetapi kerjanya menghiburkan suami selepas penat berkerja. Baginya agak memalukan sekirnya isterinya berkerja kerana kudrat yang ada pada dirinya mampu untuk menyara keluarga.

BUDAYA BERBEZA

Budaya yang di amalkan oleh Moosa ini tidak berlaku dalam masyarakat negara kita. Sekiranya terjadi sekalipun, mungkin dalam kalangan orang yang berada. Misalnya apabila suami sudah mempunyai pendapatan yang kukuh, isteri diminta menjadi suri rumah untuk menguruskan rumah tangga.

Tetapi ada juga yang masih memilih untuk berkerja kerana budaya di dalam negara kita menggalakkan golongan wanita untuk berkerja. Berkerja untuk mengembangkan lagi produktiviti negara dan keduanya bagi menambah pendapatan keluarga.

Sekiranya isterinya tidak berkerja, bagi masyarakat awam kebiasaanya agak sukar untuk membina kehidupan dengan selesa. Ini kerana pendapatan suami biasanya tidak mencukupi bagi menanggung kos sara hidup yang kian meningkat dari hari ke hari. Oleh itu, tujuan untuk isteri berkerja adalah untuk membantu suami bagi mengukuhkan sumber keewangan keluarga.

SUAMI PERLU BIJAK MENGHARGAI ISTERI

Tidak dinafikan mungkin ada isteri tidak pernah merungut berkenaan kerja-kerja rumah yang dilakukannya, suami seharusnya menghargai sumbangan besar ini. Isteri melakukannya kerana “cinta tanpa syarat”. Isteri tidak pernah mengukur berapa banyak khidmat yang diberikan, kerana mereka sering berfikir hanya untuk memberi. Intense love does not measure, it just gives.

Untuk para suami, sewajarnya pengorbanan isteri melakukan kerja yang jauh lebih berat ini dihargai sebaiknya. Seorang isteri bukannya mengharapkan sebarang balasan, tetapi tidak salah untuk seorang suami memberikan ganjaran. Apabila ditanya apakah pekerjaan isteri, jawablah isteri saya seorang suri rumah yang mejalankan kerja-kerja menguruskan rumah tangga.

#COPY_PASTE#

Friday, 15 November 2013

Welcome To My Blog...


Welcome ~ Selamat Datang ~ 欢迎光临

Salam sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan "terima kasih" kepada kawan-kawan yang sanggup meluangkan masa untuk mengunjungi (mengikuti) blog saya ini. Walaupun saya merupakan seorang bekas pelajar dalam bidang IT, tapi ini tidak bermakna saya mahir dalam bidang membina blog...hahaha...



Keinginan saya untuk memiliki blog sendiri adalah apabila setiap kali saya mengunjungi blog-blog kawan-kawan yang lain. Terasa macam tidak syok bila asyik saja mengunjungi atau membaca content blog orang lain. Hati ini berkata kepada saya, saya ingin juga memiliki blog yang tersendiri untuk kongsikan pendapat atau cerita-cerita yang berlaku epanjang hidup saya. Oleh itu, saya telah mengambil langkah pertama untuk menghasilkan blog ini.

Mungkin pada mulanya blog saya ini agak membosankan, tapi saya yakin bahawa suatu hari nanti mesti akan ada lagi banyak content-content yang menarik dalam blog saya ini. Saya akan berusaha untuk mempelbagaikan content dalam blog saya ini supaya ia nampak lagi menarik dan kreatif.

Blog inilah yang akan saya mengkongsikan segala apa yang berlaku dalam hidup saya. Saya berharap agar kawan-kawan semua suka.

Sekian, terima kasih.