Monday, 25 November 2013

PERMATA DALAM HIDUPKU (Part 1)

Wanita, merupakan insan yang paling mulia di dalam dunia, terutama kepada mereka yang bergelar IBU, MAK, MAMA ataupun MOMMY. Saya merupakan seorang wanita, dimana nasib saya tidaklah sebaik macam pasangan suami isteri yang lain. Saya masih bujang tetapi pada tahun 2009, saya telah bergelar ibu tunggal. Memang menyedihkan apabila saya telah ditinggalkan oleh seorang lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab, tetapi mungkin itu adalah takdir. Oleh itu, saya telah berusaha menabahkan diri ini untuk bangun semula demi memperjuangkan masa depan anak kecil ini.

Kehadiran anak ini adalah pada tahun 2008, masa saya beumur 18 tahun. Pada masa itu, saya dalam cuti Semester 2 sementara menunggu untuk masuk semula ke kolej pada pertengahan tahun 2008 untuk memasuki Semester 3. Saya langsung tidak menyedari kehadiran kandungan tersebut di dalam diri saya, maklumlah tiada pengalaman dan masih muda lagi. Yang saya rasa hanyalah alahan, setiap kali lepas saya makan. Walaupun berasa kurang selesa, tetapi saya masih menganggap perkara itu sebagai perkara biasa. Kemungkinan saya ada tersalah makan kot.

Orang pertama yang perasan perubahan pada diri saya adalah arwah mak saya. Beliau perasan bahawa alahan saya yang makin teruk dan pad yang saya beli untuk dipakai masih dalam keadaan sempurna tanpa dibuka pakai. Oleh itu, dia telah menemani saya ke klinik untuk body checking. Setelah menjalankan ultrasound, doktor telah mengesahkan saya telah mengandung selama 5 bulan. Disebabkan tempoh kandungan telah melepasi trimester pertama, doktor tidak menggalakkan saya untuk mengambil risiko gugurkan kandungan. Saya sangat panik, tidak dapat terima mengapa perkara seperti ini berlaku ke atas diri saya.

Dalam keadaan saya yang tidak tentu arah, saya telah memaklumkan perkara ini kepada orang yang sepatutnya bertanggungjawab tersebut. Namun, tiada sebarang balasan daripadanya. Keadaan saya menjadi semakin teruk apabila memikirkan masa hadapan saya. Arwah mak saya yang sepatutnya marah atas perbuatan terkutuk saya, bukan saja tidak memarahi saya, tetapi dialah banyak memberi kata-kata semangat kepada saya. Begitu juga dengan adik lelaki saya dan kawan-kawan saya yang mengetahui perkara ini. Mereka banyak membantu saya, dan membawa saya keluar daripada kalangan putus asa.

Sejak daripada itu, arwah mak saya akan menemani saya ke klinik untuk menjalankan checkup. Dahlah masa itu, kesihatan arwah mak saya tidak stabil (beliau mengalami penyakit darah tinggi pada masa itu, sebelum disahkan mengalami masalah buah pinggang), tetapi dia masih bertekad menemani saya selagi dia mampu.

Adik lelaki saya pula menjadi mangsa semasa saya mengidamkan sesuatu makanan. Makanan yang saya selalu idamkan seperti kacang pea hijau goreng, jagung rebus, milo ais, ayam panggang, maggi, bakso, kerepek ikan cap Bayi, Pan Mee sup dan lain-lain. Walaupun dah tengah malam, tapi dia masih menemani saya keluar semata-mata untuk menunaikan apa yang saya idamkan. Kadang-kadang dia akan membawa balik makanan yang saya sebutkan sebelum dia pergi kerja ataupun dia akan mmberikan wang kepada arwah mak supaya belikan apa saja yang saya teringin nak makan.

Nasib baik pada masa itu, saya ada saving sedikit (duit sara PTPTN dan duit belanja yang arwah mak berikan daripada wang tanggungan SOCSO arwah ayah). Oleh itu, arwah mak suruh buat persiapan awal supaya tidak kelam kabut semasa bersalin nanti. Entah mengapa atau mungkin sebab deria ke-6 telah memberitahu bayi dalam kandungan adalah seorang perempuan. Tak kisah daripada nama, pakaian, botol susu, puting, beg untuk simpan barang bayi, tuala, stocking kaki dan tangan, topi…semuanya berkaitan dengan perempuan, barangan yang dipilih semuanya bertemakan warna merah jambu (pink).

Semakin meningkat umur kandungan, semakin saya berasa saya tidak dapat berpisah dengannya. Setiap hari dia akan menemani saya pergi kelas, menari-nari semasa mendengar lagu, menendang saya seperti sedang bermain bola dan sebagainya. Hubungan saya dengan dia semakin erat, jikalau pihak hospital mengambilnya daripada saya, saya akan membuat apa saja demi melindungi dia.

Pada masa kandungan mencecah 9 bulan (masa itu saya dah habiskan semester 3 dan dalam cuti semester, sesi pembelajaran semester 4 adalah pada awal tahun 2009), doktor memberitahu saya bahawa saya kena menjalani checkup setiap minggu. Oleh kerana kesian kat arwah mak saya, saya telah menyatakan hasrat untuk pergi klinik sendiri. Semasa checkup, doktor telah membuat scanning ke atas kandungan saya. Hal ini telah membolehkan saya melihat sendiri anak kecil yang telah menduduki rahim saya selama 9 bulan itu.

Sehari sebelum pergi klinik, saya pernah menyatakan saya teringin nak makan asam pedas style Cina (Asam Choy). Arwah mak berjanji malam saya pergi checkup, dia akan hidangkan hidangan tersebut buat makan malam.  Sungguh tidak sangka hidangan itu merupakan hidangan terakhir yang saya mengidamkan.

Keesokan harinya semasa membersihkan diri, saya mendapati ada tompokan berwarna coklat pada panties saya. Dengan itu, saya telah menukarkan panties tersebut. Namun selepas daripada itu masih ada cecair berwarna coklat yang seolah-olah macam darah melekat pada panties yang baru saya tukar. Arwah mak syorkan supaya saya berjumpa dengan doktor sekali lagi, doktor berkata itu adalah perkara biasa sahaja, masih ada 2 minggu daripada tarikh bersalin. Setelah pulang ke rumah, saya telah makan tengahari dengan lauk hidangan semalam. Sungguh tidak saya sangka, petang itu perut saya sakit sangat…saat untuk saya bersalin sudah tiba.

Perasaan seperti ingin membuang air besar telah mengaburi saya. Setelah beberapa kali keluar masuk daripada bilik air, tanpa sebarang bahan buangan, perut saya menjadi semakin tegang dan sakit. Saya hanya mampu baring di atas lantai dan bergolek-golek untuk menghilangkan kesakitan tersebut. Arwah mak menjadi kelam kabut, disebabkan tidak ingin melihat saya menahan kesakitan, beliau yang selama ini tidak bercakap dengan akak saya telah meminta tolongnya supaya menjadi bidan sementara.

Akak saya yang selama ini tidak tahu mengenai hal ini menjadi panik, terus meminta tolong anaknya ang berumur 8 tahun ke tempat kerja abang ipar yang tak jauh daripada rumah untuk meminta dia pulang tolong hantarkan saya ke Hospital Ampang. Adik saya pun bergegas pulang daripada tempat kerja (adik dan abang ipar bekerja di bengkel yang sama, iaitu bengkel abang kepada abang ipar), dia pun menjadi blur sekejap kerana dia sendiri pun tak tahu nak buat macam mana. Hanya mencapai beg yang dah siap packing dengan buku merah, kami bertolak ke hospital.

Setelah tiba di hospital, kakitangan hospital segera datang menolong arwah mak saya memimpin saya ke tempat kerusi roda. Mereka segera menghantar saya ke wad bersalin, sambil-sambil saya meraung kesakitan yang teramat. Arwah mak saya ditahan di pintu wad bersalin kerana hanya suami sahaja dibenarkan masuk ke dalam. Lelaki tak akan tahu perasaan seseorang wanita, betapa susah dan sakitnya untuk melahirkan seorang bayi. Sebaringnya saya di katil bersalin, doktor yang bertugas telah membuat pemeriksaan dan mendapati telah nampak rambut bayi. Tanpa lenggangkan masa, doktor telah mengarahkan nurse yang bertugas menyediakan perkakasan yang perlu dipakai dan segera mengarahkan saya meneran sekuat yang mampu. Saya yang pertama kali bersalin dan tidak tahan kesakitan telah meraung kesakitan, tetapi nurse-nurse yang bertugas telah menyuruh saya jangan keluarkan suara.


Air mata saya mengalir tanpa henti disebabkan kesakitan yang teramat. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya masa itu. Setelah puas saya meneran, saya merasakan ada sesuatu yang keluar daripada faraj. Tangisan si kecil telah menerangi wad bersalin tersebut. Tengok pada jam di dinding, tepat menunjuk ke 5.45pm. Lega rasanya, anak kecil dalam keadaan sihat. Saat kesakitan tidak berhenti kat situ sahaja, kerana masih ada proses menjahit yang belum selesai. Disebabkan doktor menggunakan bius dalam kuantiti yang sikit, perasaan sakit masih dapat boleh dirasa apabila jarum dicucuk dan benang ditarik. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana telah melahirkan seorang anak perempuan yang sihat.


To be continue...

No comments:

Post a Comment