Friday 18 April 2014

Another Mualaf Story...

Entry kali ini...Another Mualaf Story...

Seperti yg kita sedia tahu, selain orang Melayu, bangsa lain di negara kita juga ramai telah memilih untuk memeluk agama Islam. Sebenarnya ini adalah perkara baik, cuma ada sesetengah orang masih salah faham istilah "memeluk Islam" dengan "Melayu" dan menganggap memeluk Islam adalah menjadi seorang Melayu.

Pada Disember 2013, saya secara rasminya telah memeluk Islam bersama puteri kesayangan saya. Namun, disebabkan dugaan yg datang tanpa henti...kerja2 seperti membuat pindaan pada kad pengenalan dan sijil beranak terpaksa ditangguhkan. Oleh itu, sehingga kini banyak dokumen masih belum siap dan submit di Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Namun begitu, setelah bergelar mualaf...alhamdulillah...saya dengan izin-Nya telah berjaya mendapat pekerjaan di sektor semi-government yang boleh dikatakan rezeki buat anak dan dapat menjamin masa hadapan saya. 

Oleh itu, saya akan berusaha untuk mendalami agama Islam. In sha Allah...pintu rezeki akan terbuka...yang penting saya hendaklah menjalankan kewajiban saya sebagai orang Islam...solat 5 waktu, tutup aurat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji (jika mampu) dan membayar zakat. =)

Thursday 3 April 2014

Pudding Triffle JeSsiLicious

Erm....entry kali ni saya nk post pasal resepi la...cam menarik je bile Google blog orang lain lain yg post pasal resepi & masakan best2...hehehe....saya pun merupakan seorang yg gemar try resepi baru & suke snap2 gambar masakan/makanan. Tiap kali saya try masak benda baru mesti wajib saya snap gambar...makan benda baru, pon mesti wajib snap gambar...hehehe...x kisahlah orang nak cakap camne pon, asalkan diri kite puas & happy...

Okeylah....resepi saya arini ialah Pudding Triffle....pertama kali try buat, walaupun layer kastard tu cair sikit...tapi still boleh dimakan, anggap makan pudding triffle meleleh...sedap, yum yum...hehe


PUDDING TRIFFLE JESSILICIOUS


 Bahan-bahan:

3 sudu besar Tepung Kastard
3 sudu kecil Gula
1 tin Susu Cair 
1 tin Cocktail / Peach
1 pek Swiss Roll
1 pek Serbuk Jeli Nona

**boleh tambah buah-buahan lain seperti kiwi, strawberry, grape...

Cara-cara:

1. Potong Swiss Roll setebal 1.5cm (ikut suka korang pun xpe). Kemudian susun rapat di dalam bekas, jangan bagi ia ada lubang antara kek yg telah disusun, tutup dengan cebisan kek dan lenyek / mampatkan kek tadi supaya tiada ruangan kosong.


2. Renjis atau curahkan sedikit air cocktail di atas Swiss Roll tadi supaya kek jadi lembab. Then, letakkan cocktail tadi di atas kek. Ketepikan.

3. Bancuhkan tepung kastard di dalam satu mangkuk dengan sedikit air sehingga tepung jadi tidak berketul-ketul. Kemudian, masukkan 1 tin susu cair, diikuti 1 tin air (ukur dengan tin susu), gula dan masukkan bancuhan kastard tadi ke dalam periuk. Masak atas dapur dengan api sederhana. Make sure sentiasa kacau supaya kastard menjadi pekat.

4. Apabila kastard menjadi likat dan berbuih-buih kecil meletup-letup, terus tutup api.


5. Kemudian, tuangkan bancuhan kastard ke atas kek dan menutupi buah cocktail tadi. 


6. Susun potongan buah-buahan di atas lapisan kastard. tekan sikit supaya buah tak timbul masa tuang jeli nanti.


7. Untuk jeli, masukkan 1 pek serbuk crystal jeli dan 400ml air ke dalam periuk. Masak sehingga serbuk jeli tu cair dan didih. Kemudian, tuang perlahan di atas kastard tadi. Kalau boleh jeli tu menutupi buah-buahan yang dihias tadi.

8. Biar sejuk lapisan jeli, kemudian masuk dalam peti ais selama 30 minit.


Jeng...jeng...jeng....dah siap. Ni la hasil Pudding Triffle yang saya try buat malam tadi. Tapi, ada gak yang kena perbaiki, sebab layer kastard tu tak keras. Ia jadi macam kek melelh pulak. Walaupun layer kastard tu cair & lembik sikit, at least pudding ni takde lah manis sangat or tawar sangat...rasa ngam-ngam je....

Yum...yum...yum...nanti nak try buat lagi. Bahan malam tadi cukup untuk 2 bekas je, satu bekas untuk diri sendiri, satu bekas lagi untuk future mother in-law saya. Untuk kawan-kawan saya yang teringin rasa pudding yang saya buat ni, harap bersabar yer...minggu depan saya buat untuk korang pulak...hehehe....

Anggaran: 2 bekas
Disediakan oleh: Ms. Jessica

All Rights are reserved by Athirah Alishya Jessica. No copy paste ya!! 



Thursday 20 March 2014

# Pray For MH370

Pada 8 Mac 2014 (Sabtu) yg lalu, seluruh dunia digempakkan dengan berita mengenai pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 777-200ER (MH370) yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41am. Pesawat yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal yang sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30am.
Pesawat itu membawa 152 warga China; Malaysia (38); Indonesia (12); Australia (tujuh); Amerika Syarikat (empat); Perancis (tiga); masing-masing dua dari New Zealand, Ukraine dan Kanada, serta masing-masing seorang dari Russia, Itali, Taiwan, Belanda dan Austria.
Dua bayi terbabit adalah rakyat China dan Amerika Syarikat manakala pesawat dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah yang menyertai MAS pada tahun 1981 berpengalaman dalam penerbangan selama 18,365 jam dan Pembantu Juruterbang Fariq Ab Hamid yang berpengalaman dalam penerbangan selama 2,763 jam.
Dikatakan pesawat tersebut dikesan buat kali terakhir di kawasan sekitar Kota Bharu, Kelantan menghala ke Lautan China Selatan. Pesawat tersebut dikatakan hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing mendarat cemas di Nanming, China tetapi sudah menghubungi pihak berkuasa negara berkenaan untuk pengesahan lanjut. Namun, pengesahan amat menghampakan apabila pihak berkuasa China mengesahkan pesawat berkenaan tidak pernah dikesan memasuki ruang udara China.

Gerakan mencari selepas penerbangan hilang dari radar sejam kemudian dengan gerakan mencari ditumpu di lokasi terakhir dikesan di Lautan China Selatan dan sempadan Vietnam dengan bantuan daripada kerajaan China, Vietnam, Amerika Syarikat, New Zealand, Singapura, Filipina, Australia, Indonesia, Thailand serta pasukan penyelamat negara kita. Namun, sehingga kini masih tiada sebarang jawapan yang boleh mengesahkan lokasi dan keadaan pesawat tersebut. Usaha untuk terus mengesan kedudukan dan punca kehilangan pesawat tersebut akan diteruskan.


Dalam daripada itu, terdapat juga beberapa pihak yang cuba persendakan, mempolitikkan dan menganggap tragedi kehilangan pesawat MH370 merupakan suatu gurauan. Pada pendapat saya, kita tidak seharusnya berbuat demikian, namun kita seharusnya banyakkan berdoa agar pasukan penyelamat dapat menemuinya dalam masa yang terdekat.


Di manakah pesawat MH370? Adakah ia telah ditawan oleh pengganas? Adakah ia telah terhempas? Adakah ia telah terjunam dalam lautan? Adakah ia telah mendarat dengan selamat? Ataupun, adakah ia telah sesat di dalam “Blackhole”? Tiada jawapannya, sehingga kini masih tidak menemuinya, sehingga kini kerajaan masih bertungkus lumus mencarinya, namun semua petanda yang ditemui hanya membuat kami hampa. Tiada seorang pun yang tahu, hanya Tuhan saja yang tahu.


Kami memohon kepada-Mu Ya Allah, supaya memberikan petunjuk supaya pasukan penyelamat dapat segera menemui jawapan. Permudahkan segala urusan pasukan penyelamat yang tidak pernah putus asa demi mencari pesawat MH370 yang hilang.








Thursday 6 March 2014

Hanya Untuk Dia ~ Sister-Ku

Statement ni khas utk “someone” (saudara t’dekat) yg cuba menjatuhkan imej saya di depan saudara-mara yang lain. Beliau sebenarnya tidak mengetahui cerita di sebalik kehidupan saya, tetapi beliau beria-ia cerita kepada saudara-mara bagaikan beliau tahu segalanya. Bukan saya nak besarkan hal ini, tapi statement ni sekadar kesedaran untuk beliau supaya tidak terus mencabar kesabaran saya terhadap dirinya dan keluarganya.

Selama ini, saya tidak pernah masuk campur hal peribadi beliau. Namun, beliau tidak pernah berhenti menyibuk pasal hal peribadi saya. Beliau juga leka memburukkan saya di depan saudara mara, tapi yang kesiannya keburukkan yang ada pada dirinya, tidak pula beliau sedar. Tidak pula beliau berasa malu, tidak pula beliau menyesal atas perbuatannya.

Antaranya…

   1.    Mak & Ayah
~ sejak kecil lagi ayah telah meninggal dunia disebabkan kemalangan di tempat kerja, tetapi pada masa itu saya masih ada mak dan adik-beradik. Walaupun saya bukan anak kesayangan mak, tapi saya berusaha untuk menjadi anak baik. Mungkin saya pernah tersilap langkah, saya telah menyakitkan hati mak. Namun, saya tidaklah seteruk beliau yang sanggup menghalau mak sendiri yang sakit keluar daripada rumahnya. At least saya dan adik tidak mengabaikan dan masih menjaga mak sehingga mak berhembus nafas terakhir. Sebelum mak meninggal, hampir semua masa saya dan adik diluangkan untuk membawa mak pergi hospital untuk menjalani rawatan. Beliau yang tidak sedar diri, mengaku dirinya yang membawa mak pergi hospital…beliaulah yang menjaga mak dan beliaulah orang yang belikan mak makanan berkhasiat. Padahal yang jaga mak adalah saya dengan adik lelaki tunggal, bukan beliau. Sekarang, siapalah anak derhaka tu? Even lepas mak meninggal, beliau masih tidak pernah menyesal.

   2.   Asal-Usul
~ Ya, memang saya mengaku diri saya telah memeluk Islam tanpa fahaman daripada saudara-mara yang lain. Namun, saya tidak berasa ia salah daripada undang-undang. At least saya boleh menjadi lebih baik daripada diri saya yang dulu. Mungkin di mata beliau, memeluk agama Islam adalah suatu perkara yang buruk, mungkin tanggapan beliau memeluk agama Islam ibarat saya telah menjadi Melayu. Dengan ini, saya ini memperbetulkan pemikiran beliau…memeluk Islam tidak bermakna saya menjadi Melayu, saya hanya seorang mualaf dimana saya masih diri saya yang dulu, saya masih berasal daripada keluarga yang sama, yang berubahnya hanya agama saya. Saya tidak pernah melupakan asal-usul diri dan keluarga saya.

   3.   Restu Keluarga
~ Masih saya ingat, sebelum arwah mak meninggal, saya pernah tanya kepadanya, adakah arwah boleh terima sekiranya saya memilih untuk berkahwin dengan lelaki Melayu? Pada masa tu, arwah siap bergurau dengan saya “Saya dah boleh agak yang awak ni akan memilih lelaki Melayu. Nanti adik lelaki follow kahwin dengan Indian. Jadilah 1 Malaysia nanti…hahaha!” Lega rasanya lepas arwah bersetuju dengan pilihan saya. Mungkin pada masa saya mula-mula memeluk Islam, saya risau yang saudara yang lain tidak dapat menerima. Sebab itu, saya berat mulut ingin menyampaikan kepada mereka. Tapi, apa-apa pun saya berterima kasihlah kepada “someone” yang rajin memasuk campur hal peribadi saya kerana telah mengeluarkan statement saya bertunang dengan lelaki Melayu kepada saudara mara dan jiran-jiran di kampung. Alhamdulillah ada saudara mara yang dapat menerima saya berkahwin campur, asalkan ia sah di sisi undang-undang dan agama. Saya berharap agar beliau berhenti mengeluarkan statement yang boleh menjatuhkan imej saya, saya ingin beliau tahu yang hubungan saya dengan teman lelaki saya adalah direstui oleh ahli keluarga yang lain.

   4.  Pertalian Keluarga, Peralatan & Pemakanan
~ Even saya telah menjadi seorang mualaf, tapi hubungan saya dengan keluarga masih kekal seperti biasa. Tiada sebab yang boleh memisahkan saya dengan mereka kerana yang bezanya hanya agama, bah kata pepatah “air yang dicincang, tidak akan putus”. Hubungan adik-beradik antara saya, awak dan adik tidak akan terputus, walaupun awak dah tidak mengaku kami sebagai sebahagian daripada hidup awak; walaupun kami amat membenci dan marah terhadap diri awak.

~ Mungkin bila saya pulang ke kampung halaman, bagi pandangan orang lain mungkin saya akan mengalami masalah pemakanan dan peralatan yang dipakai untuk makan dan minum. Sebenarnya, ia bukan suatu masalah kerana saya tidak perlu risau dengan pinggan mangkuk mahupun peralatan yang pernah mereka gunakan untuk memasak daging khinzir. Tidak perlu disertu/disamak. Setelah dicuci dengan pencuci biasa dan diyakini bersih, maka ianya boleh digunakan.

Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani (radhiallahu ‘anhu), beliau berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Bahawasanya kami bertetangga dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam bekas masak mereka (periuk/kuali/belanga) dan meminum khamar di dalam gelas mereka (lalu bolehkah kami menggunakan periuk dan gelas tersebut)?”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

“Jika kamu dapat mencari bekas yang selain darinya maka makan dan minumlah dengannya. Tetapi jika kamu tidak dapat mencari bekas yang lain, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah (dengannya).”
 
(Sunan Abu Daud, no. 3839. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menyentuh hadis ini dengan katanya,
 

“Dilarang menggunakan bekas mereka sebelum disucikan, sehingga apabila telah disucikan bekas tersebut, maka tidak dilarang untuk menggunakannya. Kerana ia telah suci dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang mengotorinya.”
 
(Syarah Shahih Muslim, 13/80)

Oleh itu, sila jangan sesekali menceritakan dan memburukkan saya jikalau belum telitikan atau tidak mengetahui jalan cerita sebenar. Usahlah jadi orang yang “Kuman di seberang laut nampak, gajah di bibir mata tidak nampak” dan usahlah “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”… bertaubatlah sebelum terlambat wahai KAKAKKU, orang yang sepatutnya menjadi teladan dalam keluargaku.

Sila menghormati orang lain, sebelum orang menghormati awak, jangan mengganggap diri awak lebih tua, awak tidak perlu menghormati orang lain. Awak kena ingat awak bukan orang paling tua, di atas awak masih ada mak & ayah (walaupun kedua-dua mereka telah meninggal), awak kena ingat masih ada Tuhan yang Maha Esa. Mungkin sekarang awak boleh memiliki apa yang awak inginkan dan apa saja yang awak suka, tapi ingat Tuhan berhak menarik balik segala yang awak miliki, hidup dan ajal Tuhan yang tentukan, menjawablah awak pada zaman akhirat nanti. Renung-renunglah dan sedarlah daripada kesilapan, belum terlambat jikalau awak meminta ampun. (Tapi, terpulanglah nak ubah atau tidak, semua itu atas diri awak sendiri)

Sekian.